You are here
berita 

Kepala keretapi berusia 
100 tahun timbul di Sungai Perak

PENDUDUK melihat kepala kereta api yang timbul di Sungai Perak ketika air surut di Teluk Intan, baru-baru ini. UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN

TELUK INTAN 3 Jan. – Kewujudan kepala kereta api di dasar Sungai Perak dekat Jalan Pasar di sini yang dipercayai berusia 100 tahun sememangnya sudah diketahui masyarakat umum di sini, namun tidak semua orang dapat melihatnya kerana objek itu hanya kelihatan ketika air sungai benar-benar surut.

Seorang peminat sejarah di sini, Badiuzzaman Ishak, 30, merupakan antara individu yang bertuah kerana dapat melihat kepala kereta api dipercayai buatan Rusia yang dilengkapi enjin itu apabila air sungai surut baru-baru ini.

“Ya memang gembira dan teruja kerana tidak semua orang mendapat peluang seperti ini.

“Saya sifatkan objek ini sebagai bahan bersejarah, khazanah negara yang perlu dikaji sejarahnya dan bagaimana boleh terbenam di dasar sungai,” katanya.

Kepala kereta api itu hanya boleh dilihat beberapa kali dalam setahun sewaktu air sungai benar-benar surut, itu pun hanya beberapa minit sebelum air kembali pasang.

Objek itu masih berada dalam keadaan baik dan mungkin bahagian gerabaknya turut terbenam di dasar sungai.

Menurut cerita penduduk tempatan, pada sekitar 1930-an kawasan objek itu terbenam merupakan laluan kereta api, namun hakisan menyebabkan laluan rel itu tenggelam.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Ishak Muhammad Ayub, 59, sering ke lokasi berkenaan kerana rumahnya terletak berhampiran.

Menurutnya, tidak diketahui kisah sebenar kepala kereta api tersebut boleh berada di dasar sungai, namun berdasarkan cerita penduduk di sini, pernah wujud laluan kereta api di situ.

Katanya, mungkin hakisan sungai menyebabkan landasan kereta api yang dipercayai digunakan untuk mengangkut barang, akhirnya tenggelam ke dalam sungai.

https://www.utusan.com.my/berita/nas…perak-1.427634

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts