You are here
berita 

JPJ sita van penumpang ada saman bernilai RM14,000

ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah menyita dua buah van membawa penumpang dari Thailand yang mempunyai 48 saman tertunggak semalam.

Penahanan van itu dibuat dalam `Operasi Khas Kenderaan Asing’ di Jalan Alor Setar-Kangar di sini.

Pengarah JPJ Kedah, Ismasuhaimi Shariff berkata, pada mulanya pemandu kedua-dua van berkenaan ditahan setelah mendapati mereka melanggar syarat Permit Pengedaran Antarabangsa (ICP) dengan membawa penumpang melebihi dua kilometer dari pintu masuk Malaysia.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua pemandu tersebut mempunyai 48 rekod saman tertunggak bernilai kira-kira RM14,400.

“Pemandu yang berusia 38 tahun mempunyai 28 saman tertunggak berjumlah RM8,400 manakala pemandu seorang lagi yang berusia 45 tahun mempunyai 20 saman dengan tunggakan sebanyak RM6,000.

“Kita memberi peluang kepada mereka untuk menjelaskan saman, namun mereka gagal berbuat demikian menyebabkan kenderaan mereka di sita,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Ismasuhaimi berkata operasi khas itu dibuat atas rungutan orang ramai berhubung masalah kebanjiran kenderaan asing yang bergerak bebas membawa penumpang hingga menjejaskan mata pencarian pemandu teksi tempatan.

“Ada yang tidak memohon ICP. Mereka juga melakukan kesalahan dengan membawa penumpang ke serata negeri secara komersial tanpa perlindungan insurans yang sudah tentu menyalahi peraturan dan undang-undang kita,” katanya.

Dalam operasi itu, JPJ mengutip kira-kira RM30,970 kompaun daripada 103 saman tertunggak hasil pemeriksaan terhadap 68 kenderaan asing disekitar pintu masuk sempadan Bukit Kayu Hitam.

Mereka dikesan dalam sekatan di jalan-jalan utama ke atas kenderaan asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut statistik JPJ dari bulan Januari hingga November tahun ini, sebanyak 1,414 kenderaan asing telah diambil tindakan dan daripada jumlah itu sebanyak 2,822 saman dikeluarkan atas 2,849 kesalahan.

Antara kesalahan yang sering dilakukan kenderaan asing itu ialah tidak mempunyai dan menyalahgunakan ICP, membawa melebihi had kelajuan, memotong sebelah kiri jalan dan garisan berkembar serta melanggar lampu isyarat. – Bernama

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts