You are here
berita 

Jawatan TPM: Andai khabar angin benar…

Pusat Penyelidikan Pas (PPP) melahirkan kebimbangan terhadap khabar angin kononnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah mengadakan persetujuan dengan DAP untuk menyerahkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan kepada parti tersebut.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pas (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, sekiranya khabar angin itu benar, hasrat Pas untuk menjalinkan kerjasama dengan Bersatu tidak akan diteruskan.

Malah, katanya lagi, ia akan merencatkan siri pertemuan antara Pas dan Bersatu untuk menjalin hubungan kerjasama.

“Perkembangan terbaru ini sememangnya mengejutkan. Buat masa ini, Pas sama ada melalui Majlis Syura Ulama (MSU) dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, belum membuat apa-apa keputusan untuk bekerjasama dengan Bersatu.

“Yang ada ketika ini hanyalah siri-siri pertemuan dan program bersama untuk menerokai dan menjalin hubungan tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khabar angin pakatan sulit Bersatu dan DAP untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang mula bertiup sejak 31 Disember lalu.

Mengikut pakatan tersebut, Kit Siang juga dikatakan akan menjadi Menteri Kewangan.

Dakwaan itu mulai memperlihatkan kebenarannya apabila Presiden Bersatu,Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui DAP memang meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam satu kenyataannya yang disiarkan oleh portal berita tempatan, semalam.

“Dengan perkembangan terbaru ini, iaitu adanya pakatan sulit memberi DAP jawatan Timbalan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan, kami yakin akan menutup terus ruang kerjasama antara Pas dan Bersatu.

“Kami juga yakin seluruh pimpinan dan ahli Pas akan menentang keras sebarang tawaran yang ingin diberikan kepada DAP untuk menjawat jawatan-jawatan utama dalam kerajaan seperti Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” katanya lagi.

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts