You are here
berita 

Isteri didakwa hari ini kerana pukul suami

SEREMBAN – Seorang wanita Tamil Sri Lanka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap tuduhan mencederakan suaminya, awal bulan ini.

Tertuduh, Nadia Ilona Charles, 30, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Rahimah Rahim.

Berdasarkan pertuduhan, wanita terbabit didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada suaminya berusia 32 tahun di sebuah rumah di Taman Desa Anggerik Nilai, Nilai, dekat sini pada pukul 6.15 petang, 6 Januari lepas.

Timbalan Pendakwa Raya, Soo Kok Weng mengemukakan pendakwaan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Suami tertuduh, yang hadir ketika prosiding bagaimanapun, memberitahu mahkamah bahawa beliau sudah menarik balik laporan polis yang dibuat terhadap isterinya.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan kes bagi meneliti semula laporan tarik balik kes tersebut.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM500 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 31 Januari ini. – Bernama

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.as…#ixzz4W7GpLeLf

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts