You are here
berita 

Israel Minta Kebenaran Penerbangan Haji Israel-Jeddah

Israel sedang memujuk Arab Saudi untuk membenarkan penerbangan haji khas negara itu ke Makkah, berdasarkan usaha pentadbiran Trump untuk mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua negara.
Bloomberg melaporkan Menteri Perhubungan Ayoob Kara berkata, daripada menggunakan laluan bas sepanjang 1,600 kilometer merentasi Sungai Jordan dan melalui padang pasir Saudi sebelum sampai ke tanah suci, Israel berharap rakyatnya yang beragama Islam dibenarkan terbang terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ben Gurion di Tel Aviv.

Dua bulan lalu, Trump memecahkan tradisi dengan menggunakan laluan udara dengan terbang di antara kedua-dua negara, yang tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi mahupun hubungan penerbangan tetapi semakin rapat sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana berdepan musuh yang sama, iaitu Iran.

“Ini adalah masa terbaik untuk membuat permintaan itu, dan saya sedang berusaha keras menjadikannya sebagai kenyataan,” katanya.

Arab Saudi, negara pengeksport minyak terbesar di dunia, telah membayangkan prospek trafik udara dan hubungan perdagangan lain antara kedua-dua negara sejak mencadangkan Inisiatif Keamanan Arab tajaannya pada tahun 2002.

Sebagai balasannya, Israel perlu mengiktiraf negara Palestin dan berundur dari wilayah yang didudukinya sejak Perang Timur Tengah 1967, sesuatu yang tidak mahu dilakukan rejim itu.

Namun kecurigaan masing-masing terhadap cita-cita Iran menjadikan kerjasama kedua-dua negara sebagai rahsia yang terbuka.

Kedua-dua Trump dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengakui pembabitan Arab Saudi dan jiran-jiran di Teluk akan berguna dalam mencapai kesepakatan damai dengan Palestin.

http://www.malaysiakini.com/news/388600

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts