You are here
berita 

Industri teksi sudah tunjuk tanda-tanda mahu tumbang

Tanda-tanda menunjukkan industri teksi akan tumbang tidak lama lagi

KUALA LUMPUR – 2016 merupakan tahun yang baik untuk perkhidmatan perkongsian kenderaan, dan malang buat industri teksi.

FMT menemui pemandu GrabCar dan Uber dan mendapati mereka positif akan masa depan industri itu.

Nick Koh, seorang siswa universiti berusia 23 tahun dan memandu GrabCar dan Uber secara separuh masa, percaya industri perkongsian kenderaan berkembang dengan pantas.

“Saya perasan kedua-dua syarikat giat mengambil pemandu baharu,” katanya. “Itu perkembangan yang bagus daripada segi perkhidmatan untuk pelanggan kerana lebih mudah untuk membuat tempahan.”

Sementara itu, Marvin Chong, seorang lagi pemandu GrabCar, tidak bimbang akan persaingan sesama mereka.

“Industri ini memang berkembang dengan baik, dan sebagai pemandu, memang boleh buat duit lebih,” katanya.

Koh, yang secara purata bekerja 20 jam seminggu, berharap kerajaan tidak mengenakan terlalu banyak peraturan ke atas mereka.

“Jangan terlalu mengawal industri ini,” katanya. “Galakkan persaingan sihat. GrabCar dan Uber boleh tawarkan kadar terbaik untuk pelanggan serta insentif bagi mengalakkan pemandu memberi khidmat terbaik.”

Perkembangan ini nampaknya berita buruk untuk pengusaha teksi.

Pengasas Perkhidmatan teksi Big Blue, Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, masa depan industri teksi menjadi kelam apabila Uber memulakan perkhidmatan mereka 3 tahun lalu.

“Kita sedar ribut sudah melanda industri,” katanya.

“2016 tahun yang malang untuk pengusaha teksi, dan tanda-tanda menunjukkan industri ini akan tumbang tidak lama lagi.

“Bahkan, lebih 10,000 pemandu menyerahkan teksi masing-masing. Tiada lagi pemandu baharu ambil kereta itu kerana mahu pandu Uber dan GrabCar.”

Oktober lepas, media memetik seorang pegawai Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia sebagai berkata pengusaha teksi mungkin tidak mampu bertahan selepas 2018, sekurang-kurangnya di Lembah Klang.

Shamsubahrin berkata pemilik permit teksi perlu bertanggungjawab akan masalah industri itu.

“Sejak sekian lama, mereka tidak memilih, memantau dan menguruskan pemandu dengan betul,” katanya.

“Misalnya, syarikat teksi serah kereta kepada pemandu tanpa membuat pemeriksaan latar belakang secara menyeluruh. Pendek kata, pemilik permit tak peduli sejarah pemandu. Mereka hanya peduli duit.”

Beliau menggesa kerajaan supaya menunjukkan sokongan kepada industri teksi.

“Bantu kami,” katanya. “Saya sedia bantu Spad (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) untuk memperbaiki industri teksi.

“Antara cara untuk menangani isu ini adalah dengan memastikan pemilik permit bertanggungjawab sepenuhnya. Kita sudah tunjukkan contoh yang baik dan Spad mengakui perkara itu. Kita berjaya ubah pemandu yang buruk menjadi pemandu yang baik.”

http://www.freemalaysiatoday.com/cat…-grabcar-uber/

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts