You are here
berita 

Hutang peneroka FELDA dimuktamadkan 1 bulan

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim. – Foto Adi Safri

JEMPOL: FELDA akan mengemas kini penyata hutang peneroka yang sering menjadi pertikaian sebelum ini, dalam tempoh sebulan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Katanya, ada dua jenis hutang peneroka kepada FELDA iaitu operasi dan sosial, masing-masing membabitkan kos tanam semula dan sara hidup, selain pinjaman perumahan serta pendidikan.

“Proses memuktamadkan dan kemas kini hutang itu sedang dilakukan dan dijangka selesai dalam tempoh sebulan sebelum penyata terperinci diserahkan kepada peneroka.

“Jumlah dalam penyata itu akan dipersetujui secara bersama dan jika ada bantahan, peneroka perlu membuktikannya kepada FELDA, ” katanya pada sidang media selepas perasmian mesyuarat cawangan UMNO Bahagian Jempol di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serting, Datuk Shamshul Kahar Mohd Deli dan Ketua UMNO Bahagian Jempol, Datuk Mohd Salim Sharif.

Razali berkata, isu berkaitan hutang itu akan diselesaikan dahulu sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, membuat beberapa pengumuman penting berkaitan FELDA tidak lama lagi.

Katanya, banyak pihak termasuk pembangkang menjadikan isu hutang peneroka sebagai bahan bagi menyerang kerajaan sekali gus menyebabkan masalah semakin buruk.

http://www.bharian.com.my/node/259127

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts