You are here
berita 

Hospital Pasir Mas cuai, anak masih hidup diisytihar mati

ANIYATUL AKMA bersama suami, Muhammad Asram menunjukkan sijil kematian anak mereka dan surat siasatan memalsukan kematian Nur Qistina Damia ketika ditemui di Pasir Mas semalam.

Suami isteri dituduh pula palsukan kematian anak

PASIR MAS 10 Julai – Gara-gara kesilapan pihak Hospital Pasir Mas (HPM), sepasang suami isteri terkejut anak mereka yang masih hidup diisytiharkan mati lima tahun lalu.

Perkara tersebut hanya diketahui oleh Muhammad Asram Othman, 34, dan isteri, Aniyatul Akma Abdul Manan, 31, selepas menghadapi masalah untuk mendaftarkan anak mereka, Nur Qistina Damia, 6, ke tahun satu di sebuah sekolah di sini.

Malah, lebih mengejutkan apabila pasangan itu mendakwa turut dituduh memalsukan kematian anak mereka disebabkan sijil kematian telah dikeluarkan oleh Jabatan Pendataran Negara (JPN).

Selepas membuat laporan polis, JPN memaklumkan, berlaku kesilapan di HPM mendaftarkan kanak-kanak itu meninggal dunia pada 3 Jun 2012.

Aniyatul Akma berkata, mereka mengetahui hal itu selepas dihubungi pihak sekolah ekoran kegagalan mendaftar anak kedua daripada lima beradik itu dalam sistem kemasukan tahun satu 2018.

“Mengikut rekod diterima pihak sekolah, Nur Qistina Damia telah meninggal dunia dan sijil kematian telah dikeluarkan oleh JPN.

“Bagi mendapatkan pengesahan, saya dan suami telah ke JPN Kelantan untuk membuat semakan.

“Rekod mendapati Nur Qistina Damia sudah meninggal dunia, laporan kematian dikeluarkan HPM. Kami dipanggil beri keterangan atas dakwaan memalsukan kematian,” katanya kepada pemberita di Kampung Lemal di sini hari ini.

Tambahnya, JPN memaklumkan, laporan polis mengenai kematian anak saya dibuat di Gua Musang.

“Saya pelik, bagaimana kami dituduh palsukan kematian. Untuk apa? Anak kami tiada insurans nyawa atau apa-apa yang boleh menguntungkan kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPN negeri, Asrehan Ab. Razak ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, siasatan mendapati pihak HPM melakukan kesilapan dalam hal tersebut.

“Kita akan memanggil keluarga berkenaan dan pembatalan sijil kematian itu akan dilakukan dalam masa terdekat ini,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/nasi…#ixzz4mTK38GIp

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts