You are here
berita 

Harga ikan melambung

Mohd Rizal (kanan) sedang berurusniaga dengan pelanggannya di Pasar Chabang Tiga, di sini.
KUALA TERENGGANU – Musim tengkujuh bukan sahaja menjadi beban bagi nelayan kerana tidak dapat turun ke laut tetapi juga menjadi masalah kepada peniaga ikan berikutan harga ikan semakin mahal pada musim berkenaan terutama pada setiap hujung tahun.

Bagaimanapun, keperluan harian itu perlu diborong untuk dijual kepada pelanggan meskipun terpaksa menaikkan harga ikan biarpun mendapat rungutan.

Ia berikutan, secara purata harga ikan pelbagai jenis meningkat kepada RM4 sekilogram berbanding musim biasa.

Penjual ikan, Mohd Rizal Yahya, 37, berkata, setiap kali musim tengkujuh harga ikan naik itu sudah menjadi perkara biasa dan pelanggan juga memahami keadaan semasa walaupun dalam masa sama mereka merungut.

Pilihan di tangan pelanggan kerana pada musim tengkujuh, mereka boleh memilih untuk mendapatkan ikan segar atau sebaliknya seperti ikan beku atau juga dikenali sebagai ikan kotak.

Bagi Mohd Rizal, dia tidak terkecuali mendapatkan ikan kotak tetapi lebih gemar menjual ikan segar walaupun harganya agak mahal.

“Saya ada juga ambil ikan kotak tetapi tak banyak sebab lebih suka jual ikan segar walaupun harganya mahal, ikan pun segar tidak seperti ikan kotak yang telah dibekukan terlebih dahulu.

“Musim sekarang (tengkujuh) memang selalu macam ini, harga ikan akan naik disebabkan nelayan tidak dapat ke laut, sebab itu ramai yang jual ikan kotak musim sekarang ini,” katanya ketika ditemui di Pasar Chabang Tiga, di sini.

Berpengalaman selama tujuh tahun dalam menjual ikan, Mohd Rizal berkata, kebiasaannya harga ikan mulai turun atau kembali seperti sedia kala sekitar bulan Febuari atau Mac tahun berikutnya.

Harga terkini ikan segar jenis selar dijual RM12 sekilogram, kerisi RM14, selayang RM12, kembong RM20. Manakala pada musim biasa, selar dijual dengan harga RM8, selayang RM8, kembong RM14.

Secara purata, harga ikan pelbagai jenis meningkat lebih kurang RM4 sekilogram pada musim tengkujuh.

Kata Mohd Rizal lagi, walaupun harga ikan naik pada masa ini, pelanggan tetap datang membeli seperti biasa tidak mengira musim kerana ikan adalah keperluan seharian pengguna.

sumber:http://www.sinarharian.com.my/edisi/…mbung-1.604381

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts