You are here
berita 

Hanya calon layak diterima SPA

Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)

KUALA LUMPUR – Kerajaan hanya memilih individu terbaik sebagai calon bagi mengisi kekosongan jawatan yang dimohon melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, tiada keistimewaan diberi kepada individu tertentu sebagai laluan mudah untuk diterima SPA.

“Melalui saya tidak ada, melalui pegawai-pegawai kalau dia sembunyi daripada saya, itu di luar pengetahun saya.

“Tapi setahu saya memang yang kita pilih adalah yang terbaik,” katanya kepada Dewan Rakyat pada sesi pertanyaan menteri oleh Datuk Abdul Ghapur Salleh, (BN – Kalabakan) dan Datuk William @ Nyallau Anak Badak (BN – Lubok Antu).

Abdul Ghapur bertanya adakah calon yang diterima SPA itu disokong oleh kenalan dalam kerajaan mahupun daripada pihak-pihak tertentu.

Tegas Joseph, kerajaan telah menetapkan ciri-ciri calon yang dicari SPA.

“Selain kelulusan akademik, semasa temuduga mereka mesti berketrampilan, sedia bekerja secara berpasukan, berkepimpinan, mempunyai jati diri yang tinggi serta berprofesional.

“Oleh kerana ramai yang memohon, agak senang untuk SPA memilih calon terbaik dalam kumpulan tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pada 2015, SPA telah menerima 1.6 juta permohonan, namun kekosongan jawatan untuk pelantikan tetap ke perkhidmatan awam hanya 24,606 sahaja.

“Bagi 2016 pula, sebanyak 1.56 juta permohonan diterima, namun kekosongan untuk pelantikan tetap di bawah SPA hanya 25,046,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, proses tapisan yang ketat telah dilaksanakan oleh SPA.

Bagaimanapun, SPA sentiasa mengadakan program dengan turun padang mendekati rakyat termasuk di kawasan pedalaman.

“SPA mengadakan karnival kerja dan program outreach bagi memberi penerangan dan galakan kepada masyarakat supaya calon-calon berkelayakan mendapat tips dan panduan mengisi kekosongan kerja di SPA,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/nasion…a-spa-1.653944

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts