You are here
berita 

Gara-gara tipu jual beli lampin pakai buang

KUALA LUMPUR – Akibat menipu dalam jual-beli lampin pakai buang dalam talian, seorang suri rumah dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu ke atas Norshafika Ab Wahab, 27, selepas dia mengaku bersalah menipu tiga wanita, dan memerintahkan hukuman itu bermula hari ini.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ketiga-tiga hukuman itu berjalan berasingan.

Tertuduh menipu Hawa Mohamad, 30, dengan memperdayakannya sehingga mendorong mangsa membuat bayaran secara dalam talian sebanyak RM1,500 ke dalam akaun milik tertuduh bagi penjualan 75 unit lampin pakai buang bayi yang tidak wujud, di Sentul di sini, pada 27 Dis 2015,

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh menipu Yasmin Abdul Ghani, 30, dengan memperdaya mangsa bagi urusan jual beli lampin pakai buang yang diiklankan di laman Facebook sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM1,500 secara pindahan wang di Jalan Raja Chulan, di sini, pada 8 Jan 2016.

Tertuduh juga menipu Nazlinda Mat, 29, kononnya dia boleh menghantar lampin pakai buang yang dibeli melalui dalam talian sehingga mendorong mangsa memasukkan wang RM2,000 ke dalam akaun milik tertuduh, di Jalan Dang Wangi di sini pada 5 Jan 2016 .

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan sebat serta juga boleh dikenakan denda.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia kini sedang menjalani hukuman penjara tiga tahun atas kesalahan sama (menipu).

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dan hukuman berjalan secara berasingan kerana ia melibatkan tiga transaksi yang berbeza. – Bernama

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts