You are here
berita 

Gadis lari rumah takut dimarahi kerana dibuang kerja

FIFI Nur Amira Muhammad yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu.

Kuala Lumpur: Seorang remaja perempuan dipercayai melarikan diri dari rumah kerana bimbang dimarahi ibu bapa selepas dibuang kerja sebagai pembantu di pasar raya di Cheras, di sini, sejak Isnin lalu.

Remaja itu, Fifi Nur Amira Muhammad Faisal, 18, disedari hilang oleh keluarganya selepas tidak pulang ke rumah di Flat Seri Melaka, Cheras, di sini.

Bapa mangsa, Muhammad Faisal Taib, 40, berkata, anak sulungnya tidak menunjukkan kelakuan pelik sebelum meninggalkan rumah pada hari kejadian.

“Saya menyedari kehilangan Fifi apabila dia tidak pulang ke rumah selepas bekerja. Kebiasaannya, dia pulang jam 10 malam sebelum meneruskan kerja sambilan di kedai makan di Gombak, hingga jam 4 pagi.

“Namun, sehingga jam 10 pagi keesokan harinya (Selasa lalu), dia masih belum pulang ke rumah menyebabkan saya mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Salak Selatan. Usaha menghubungi telefon bimbitnya gagal,” katanya.

Muhammad Faisal berkata, dia meminta bantuan anak keduanya berusia 17 tahun mengesan rakan Fifi.

“Rakan Fifi ada memaklumkan dia dibuang kerja kerana masalah tatatertib beberapa hari sebelum menghilangkan diri. Dia mengambil tindakan lari dari rumah kerana bimbang kami akan memarahinya kerana dipecat.

“Namun, kami sama sekali tidak marah dan sebagai ibu bapa pasti memahami keadaan dilaluinya,” katanya.

Dia dimaklumkan anak perempuannya itu kini tinggal di rumah keluarga rakannya di Cheras, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan remaja itu.

http://www.hmetro.com.my/node/191164

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts