You are here
berita 

Gadis Jerman koyak kulit kepala ditoreh peragut

ANGGOTA APM membantu merawat mangsa yang mengalami kecederaan dalam kejadian di Putra Sunway Mall.

Kuala Lumpur: Seorang remaja perempuan warga Jerman koyak kulit kepala akibat dihiris pisau oleh seorang peragut di hadapan Putra Sunway Mall di sini.

Dalam kejadian jam 11 malam kelmarin, mangsa, Sophie Veltmann, 19, dipercayai bergelut dengan penjenayah terbabit bagi menyelamatkan beg tangannya.

Bagaimanapun penjenayah tidak berjaya melarikan beg tangan mangsa selepas orang ramai mula mengerumuni lokasi kejadian.

Pegawai Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Leftenan Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 11.12 malam dan sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.

“Seramai empat anggota APM bergegas ke lokasi kejadian. Setibanya di lokasi, kami mendapati seorang gadis mengalami pendarahan di kepala dipercayai terkena objek tajam,” katanya.

Menurutnya, mangsa mendakwa dia bersama rakan perempuan lain berjalan kaki dari Putra Sunway Mall ke Bukit Tunku di sini.

“Mangsa diserang dari belakang dan berlaku pergelutan antara mangsa dan penjenayah itu.

“Rakan mangsa yang melihat kejadian itu meminta tolong dari orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya.

Shahrul Kamar berkata, mangsa mengalami luka terbuka di kepala sepanjang tiga sentimeter.

“Anggota APM memberikan mangsa rawatan awal dan mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/node/211422

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts