You are here

Fizz Fairuz tempelak stesen TV swasta

Dalam keterujaan aktor Fizz Fairuz, 34, mendapat khabar gembira mengenai kehamilan isterinya, Almy Nadia, anak jati Pahang itu turut tidak sabar menantikan filem komedi lakonannya, Mat Tudung menjengah pawagam pada hari raya pertama kelak.
 Fizz tidak mahu digandingkan dengan bakat baharu yang sekadar mempunyai rupa tetapi tidak berbakat.
Menyatakan pendiriannya mengenai watak menerusi filem terbitan KRU Studios berkenaan, Fizz yang membawakan karakter seorang lelaki yang menyamar dalam persalinan wanita memberitahu bahawa dia tidak khuatir perwatakan itu akan menimbulkan isu memandangkan ia adalah salah satu seni lakonan.

Menyedari sebelum ini terdapat beberapa pendapat yang menyuarakan agar tidak membenarkan lelaki membawa watak wanita dalam sesebuah karya terbitan sama ada di kaca televisyen, di layar lebar, di panggung teater, di pentas persembahan waima di mana sekalipun, namun Fizz beranggapan bahawa seni lakonan itu adalah sesuatu yang subjektif. Ia tidak perlu disekat jika ada sebab yang kukuh untuk menzahirkan kreativiti pengkarya.

“Jika zaman dahulu, golongan hawa dilarang membabitkan diri dalam sebarang persembahan pentas sama ada tarian, nyanyian ataupun lakonan. Disebabkan itu, seandainya ada persembahan yang memerlukan watak wanita, pelakon lelaki yang akan menggalas peranan terbabit dengan mengenakan pakaian serupa mereka.

“Jadi, isu telah wujud sekian lama dalam industri seni tempatan malah di peringkat global juga. Dan tidak perlu dipersoalkan kerana seni itu perlukan minda yang terbuka untuk menerima dan mentafsirnya, kemudian barulah ia bergelar karya.

“Apapun, pandangan saya ini bukan bermaksud saya bersikap konservatif, cuma ia adalah satu pendapat yang benar dan tidak menyalahi hukum syariat selagi niat yang ditetapkan adalah demi mencari rezeki yang halal menerusi cara relevan,” katanya ketika sesi fotografi yang diadakan di Putrajaya, baru-baru ini.

Lambakan pelakon tidak berbakat

Pada masa yang sama, Fizz yang dikenali dengan gaya lakonan bersahaja serta dikategorikan antara salah seorang pelakon berbakat yang masih wujud dalam industri lakonan tempatan turut lantang melontarkan suaranya apabila menyifatkan kebanyakan pelakon baharu sama ada lelaki ataupun wanita hanya mempertaruhkan rupa mereka, bukannya bakat yang berkualiti. Biarpun mengakui komentarnya itu agak keras, namun Fizz tegas dengan pendiriannya tetapi pada masa yang sama tidak menyalahkan pelakon-pelakon terbabit, sebaliknya menuding jari kepada stesen-stesen TV tempatan yang berebut-rebut serta ghairah mahu memperkenalkan nama baharu dalam drama terbitan atau siaran mereka.

“Senario ini semakin serius dengan lambakan pelakon baharu yang sekadar menarik di mata penonton. Bagaimanapun apabila bakat mereka diteliti dan dinilai, ia sangat memalukan dan meletakkan tahap seni lakonan di negara ini berada di bawah standard yang sepatutnya.

“Saya lihat, boleh dikatakan setiap drama yang mereka ingin tayangkan, sekurang-kurang akan diselitkan seorang bakat baharu sebagai pelakon pembantu. Paling mengecewakan, ada juga yang diberikan watak utama sedangkan kredibiliti mereka sangat tidak meyakinkan.

“Kalau betul stesen TV mahu mengetengahkan bakat baharu, bimbinglah mereka dengan cara yang betul menerusi bengkel-bengkel lakonan yang dianjurkan persatuan-persatuan seni tempatan, bukannya pilih sahaja secara semberono. Ini tidak, asalkan cantik atau kacak saja, terus jadi pelakon,” luah Fizz yang terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon apabila mengetahui ada beberapa pelakon baharu yang ada nama, tetapi dirasakannya tidak berbakat digandingkan dengannya.

Tambah Fizz, niatnya berbuat demikian bukan untuk mendabik dada, sebaliknya mahu menaikkan standard seni lakonan tanah air ke peringkat yang lebih tinggi berbanding sekarang yang tidak keterlaluan dikatakan sangat kritikal.

Sumber ; utusan.com.my

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts

Leave a Comment