You are here
berita 

Dua naskhah tafsir al-Quran tidak hangus

Mohd Fadhil menunjukkan senaskhah tafsir al-Quran yang masih elok yang ditemui dalam rumah Tengku Mahmud di Kampung Paya Berenjut.
PAYA BERENJUT – Meskipun keseluruhan rumah seorang warga emas di Kampung Paya Berenjut musnah dijilat api namun dua naskhah tafsir al-Quran ditemui masih berkeadaan elok.

Dua naskhah tafsir al-Quran yang hanya terbakar di bahagian tepi itu ditemui Penolong Penyelia Agensi Transformasi Rakyat Terengganu (Atra) Dun Kemasik, Mohd Fadhil Abdul Hadi ketika bergotong-royong membersihkan sisa rumah milik Tengku Mahmud Tengku Mat, 67, semalam.

Gotong-royong berkenaan melibatkan seramai 57 sukarelawan terdiri daripada 18 kakitangan Atra Dun Chukai, enam orang wakil Pemuda Umno Bahagian, enam (Puteri Umno Bahagian), 10 (Wanita Umno Bahagian), tujuh (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) dan masing-masing lima wakil Pejabat Parlimen dan Pejabat Daerah.

Mohd Fadhil berkata, ketika sedang mencari barang berharga di sebalik timbunan sisa kebakaran dia ternampak senaskhah tafsir al-Quran itu yang hanya terbakar di bahagian tepi dan isi kandungannya tidak hangus.

“Dalam banyak-banyak barangan dan buku yang terbakar hangus, kalam ALLAH SWT ini masih lagi elok.

“Lepas itu saya jumpa senaskhah lagi tafsir al-Quran dan kitab lama yang juga masih selamat kerana hanya bahagian tepi sahaja dimamah api,” katanya.

Kebakaran yang memusnahkan rumah Tengku Mahmud itu berlaku kira-kira jam 12 tengah hari, tiga hari lalu hingga mengakibatkan mangsa turut melecur kerana meredah api menyelamatkan cucunya berusia empat tahun yang terperangkap dalam bilik tidur.

Kerja-kerja pembersihan itu dilakukan segera bagi membolehkan sebuah rumah baharu dibina di atas tapak rumah yang musnah dijilat api berkenaan.

SUMBER:http://www.sinarharian.com.my/edisi/…angus-1.638889

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts