You are here
berita 

Doktor lumpuh akibat kemalangan dapat ganti rugi RM1.1 juta

Dr Mohammad Fadhly (tengah, berkerusi roda) bersama Farhana (kanan) selaku peguamnya dan Mahadevan.

BANDARAYA MELAKA – Bekas Ketua Bahagian Kemalangan dan Trauma Hospital Melaka berjaya dalam tuntutan ganti rugi am dan khas berjumlah RM1.1 juta akibat lumpuh separuh badan akibat kemalangan jalan raya, tiga tahun lalu.

Keputusan berkenaan dibuat Hakim Mohd Nasir Nordin ekoran perbincangan antara peguam yang mewakili Dr Mohammad Fadhly Yahya selaku plaintif dan defendan, Juraidah Latip.

Plaintif diwakili peguam Farhana Yusuf, manakala defendan diwakili S Mahadevan dan Murali Sandrakan.

Menurut Farhana, kes terbabit difailkan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh pada 11 Julai tahun lalu ekoran kemalangan yang berlaku pada 8 Mei 2014.

Akibat kemalangan itu, katanya, Dr Mohammad Fadhly kini lumpuh separuh badan, selain terpaksa bergantung pada beg stoma dan ubat-ubatan untuk sepanjang hayat.

“Kes ini telah diselesaikan secara baik antara peguam plaintif dan defendan, di mana penghakiman sudah pun dikeluarkan untuk tuntutan ini,” katanya.

Mengikut fakta kes, dalam kemalangan di Jalan Pengkalan Batu itu, plaintif sedang menunggang motosikal dari rumahnya di Taman Seri Songket, Batu Berendam, untuk ke tempat kerja di Hospital Melaka apabila secara tiba-tiba motosikal defendan membelok tanpa memberi isyarat.

Plaintif gagal mengelak dan terus melanggar motosikal berkenaan sebelum tercampak ke atas jalan raya dan dirempuh sebuah motosikal lain yang datang dari arah bertentangan.

Akibat kemalangan itu, plaintif telah patah tulang belakang, dua batang tulang rusuk kanan dan tiga tulang rusuk kiri serta mengalami pendarahan paru-paru.

Plaintif turut ditahan di Hospital Melaka hampir sebulan sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjutan neurosurgeri selama sebulan.

Plaintif kemudian dipindahkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada 3 Julai 2014 sehingga kini disebabkan rawatan lanjutan komplikasi kolostomi.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/…-juta-1.686382

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts