You are here
berita 

Doktor cuai, 10 tahun mata gerudi tertinggal dalam kaki

Akif Hatimi memegang filem x-ray yang menunjukkan ada objek dipercayai mata gerudi di dalam kakinya.

PORT DICKSON – Seorang lelaki yang kini disahkan orang kurang upaya (OKU) kecewa, apabila dia dimaklumkan berlaku kecuaian di sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur sehingga menyebabkan mata gerudi tertinggal di kaki kanannya.

Kejadian berlaku semasa pembedahan memasukkan besi dilakukan akibat kemalangan jalan raya.

OKU itu, Akif Hatimi Abdul Halim, 30, berkata, pembedahan dilakukan pada 2007 dan hanya selepas lapan tahun iaitu pada Disember 2015, baru dia dimaklumkan ada alat pembedahan tertinggal di dalam kakinya oleh doktor di hospital lain, semasa pembedahan mengeluarkan besi kaki.

“Doktor bagi tahu, saya boleh ambil tindakan undang-undang atas kecuaian berkenaan. Tapi saya tangguhkan hasrat itu sebab kos guaman sangat tinggi.

“Saya sebenarnya sangat kecewa, kenapa doktor di Kuala Lumpur tak bagi tahu perkara sebenar, ada bendasing tertinggal di kaki saya. Bertahun-tahun saya menderita. Sehingga kini bendasing tu masih ada di kaki saya,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Taman Desa PD semalam.

Akif Hatimi berkata, pembedahan pertama pada 2007 di Kuala Lumpur tidak berjaya.

“Seminggu lepas pembedahan, kaki saya membengkak dan bernanah, doktor yang melakukan rawatan susulan (di sebuah hospital swasta) memaklumkan pembedahan pertama tidak berjaya dan kesemua 20 jahitan dibuka.

“Doktor kata, biar luka tu sembuh sendiri, setiap hari luka perlu dicuci dan itu berlarutan selama lapan tahun. Sepanjang tempoh itu, memang sangat menderita, Tuhan sahaja yang tahu,” katanya.

Terpaksa sewa bilik rumah kongsi pekerja asing

Menurut Atif Hatimi, akibat insiden malang itu kehidupannya tidak berjalan lancar seperti orang lain, selain hidup serba kekurangan bersama isteri dan tiga anaknya.

“Tahun lepas paling teruk, saya terpaksa sewa sebuah bilik di rumah kongsi warga asing di Senawang dan kami tinggal lima beranak.

“Sebelum ni kami duduk kampung tapi keluar kerana ingin cari kerja. Tapi pekerjaan yang boleh lakukan juga terhad, kaki kanan saya tak boleh dibengkokkan dan kini saya pemegang kad OKU,” katanya.

Kata Akif Hatimi, pada hujung tahun lalu, ibunya yang menetap di Kuala Lumpur hilang tempat bergantung selepas bercerai dan datang menetap dengannya.

“Bersama mak ada adik bongsu saya down sindrom umur 24 tahun dan seorang cucu emak berusia setahun lebih yang dijaganya selepas adik saya tak mampu menjaganya.

“Saya buntu, takkan nak letak semua lapan orang dalam satu bilik yang kecil. Saya nekad ke Baitulmal Seremban. Alhamdulillah terima bantuan deposit rumah RM1,600 dan dapat la saya sewa sebuah rumah ini dengan sewa RM300 sebulan,” katanya.

Menurutnya, dia terpaksa menyewa di kawasan pedalaman.

“Taman Desa PD ni agak jauh dari kemudahan sekolah. Tapi ini je rumah yang kadar sewa paling rendah saya jumpa serta selesa untuk lapan orang menetap,” katanya.

Isteri hidap psoriasis

Akif Hatimi berkata, dia akui dalam kesukaran kehidupan ini kadang-kadang dia sampai tahap berputus asa.

“Isteri juga tak bekerja, dia ada penyakit kulit, psoriasis. Sejenis penyakit keradangan kulit kronik yang menyebabkan kulit menjadi tebal dalam tempoh singkat, kemerahan, dan menggelupas.

“Penyakit ni tak berjangkit, tapi kadang-kadang mengakibatkan sakit di sendi. Isteri saya pernah beberapa kali minta kerja, tapi majikan tak mahu terimanya. Jadi kami lapan orang bergantung kepada saya saja yang ambil upah mereka grafik untuk banner atau banting. Tapi pendapatan tetap tak ada dan tak ramai orang tahu perkhidmatan saya buat ni,” katanya.

Anak tak sekolah

Akibat desakan hidup dialami juga, menyebabkan anak sulung berusia sembilan tahun dan anak kedua berusia tujuh tahun tidak bersekolah.

“Saya ada uruskan dengan PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) di sini. Tapi mereka minta saya dapatkan dokumen dari PPD tempat lama anak saya bersekolah, di kampung Gemas. Dengan keadaan saya macam ni, mungkin akan ambil masa. Baju sekolah anak pun saya belum beli, ada jiran bagi sepasang untuk anak yang sulung,” katanya.

Akif Hatimi berkata, apa yang dia harapkan adalah agar ada pembelaan untuk dirinya tentang apa yang berlaku kira-kira 10 tahun lepas itu dan berharap orang ramai boleh membantunya dengan menggunakan perkhidmatannya sebagai pereka grafik.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/…-kaki-1.607900

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts