You are here
berita 

Ditetak sebelum dihumban ke laut

MAYAT seorang lelaki ditemui dalam keadaan berbalut dengan kanvas dan terlekat pada tiang di bawah Jeti Pelabuhan Barter Trade, Jalan Asa Niaga, Pelabuhan Klang, semalam. – Foto ihsam PDRM

PELABUHAN KLANG: Mayat yang ditemui di bawah jeti pelabuhan di sini semalam, dipercayai adalah mangsa tetakan hingga mati sebelum dicampak ke laut.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, laporan bedah siasat menunjukkan wujud kesan tetakan di kepala mangsa menggunakan senjata tajam dan berat.

“Mangsa berkemungkinan mati antara satu hingga dua minggu lalu. Dia dibunuh terlebih dulu sebelum mayatnya dibuang ke laut.

“Mangsa berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an, bangsa belum dapat dipastikan, tidak berkhatan dan mempunyai ketinggian 165 sentimeter.

“Tubuh mangsa mempunyai tatu tetapi tidak jelas pada dada bermula dengan huruf M dan berakhir dengan huruf A manakala identitinya belum diketahui,” katanya ketika dihubungi BH di sini, hari ini.

Semalam, mayat seorang lelaki ditemui dalam keadaan berbalut dengan kanvas dan terlekat pada tiang di bawah Jeti Pelabuhan Barter Trade, Jalan Asa Niaga, di sini.

Mayat ditemui dalam keadaan tidak berbaju, berseluar panjang, berkasut sarung kelabu tanpa jenama serta berstokin pendek.

Shamsul Amar berkata, pemeriksaan Unit Forensik mendapati satu besi konkrit, satu besi berkarat dan sebuah bata diikat di belakang badan serta kaki simati.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

https://www.bharian.com.my/berita/ke…humban-ke-laut

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts