You are here
berita 

Dekoder IPTV tidak patuhi piawaian dirampas SKMM

Quote:

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merampas 5,000 dekoder televisyen protokol internet (IPTV) yang tidak mematuhi piawaian SIRIM dalam tiga serbuan di sini hari ini

Ketua Pegawai Keselamatan Rangkaian dan Penguatkuasaan SKMM, Zulkarnain Mohd Yasin berkata nilai rampasan dalam ketiga-tiga serbuan itu dianggarkan RM1 juta

Katanya, mana-mana penjualan dekoder yang tidak mematuhi Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah perlu dihalang kerana ia merupakan kesalahan cetak rompak digital

Menurutnya, serbuan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dijalankan pada pukul 10 pagi di sebuah pasar raya di Masai, disusuli di sebuah rumah di Kulai dan sebuah gudang penyimpanan di Taman Perindustrian Plentong, Pasir Gudang

“Laporan mengenai kejadian diterima daripada MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) yang menyatakan terdapat dekoder IPTV tidak standard dijual di pasaran

“Bertindak atas maklumat itu, kita menjalankan serbuan dan merampas 5,000 dekoder

“Lima individu yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung rampasan ini,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, di sini hari ini

MYTV adalah syarikat yang dipertanggungjawabkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menyediakan infrastruktur bagi peralihan siaran TV analog ke digital, atau singkatannya Digital Terrestrial TV (DTT)

Zulkarnain berkata pihaknya akan terus bekerjasama dengan PDRM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bagi membendung perkara itu daripada berleluasa

Menurutnya, pengguna juga perlu berhati-hati agar tidak mudah ditipu dengan penjualan dekoder itu

“Dekoder ini perlu mendapatkan kelulusan SIRIM kerana perakuan daripada SIRIM memberi jaminan peralatan itu boleh digunakan dan dijamin dari segi keselamatan dan kualiti,” katanya

Menurut Zulkarnain lagi, sekiranya mana-mana individu didapati memiliki peranti berkenaan, mereka boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan 16(1)(b) Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000

Ia memperuntukan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan, atau kedua-duanya

http://www.sinarharian.com.my/semasa…-skmm-1.595367


Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts