You are here
berita 

Cuti ‘sakit haid’ kepada pekerja wanita, dalam kajian

Jika cadangan ini diluluskan kerajaan, Itali bakal menjadi negara Barat pertama memberi keistimewaan tersebut kepada pekerja wanita

Pernah tak anda mengalami senggugut tetapi masih perlu bekerja kerana “tidak larat” berjumpa doktor untuk mendapatkan sijil cuti sakit atau memohon cuti kecemasan atau tahunan dari syarikat?

Kini, anda mungkin boleh mempertimbangkan untuk bekerja di Itali kerana sudah ada perbincangan di peringkat Parlimen untuk memperuntukkan 3 hari cuti sakit kepada pekerja wanita ketika datang haid.

Jika cadangan ini diluluskan, Itali bakal menjadi negara Barat pertama yang memberi keistimewaan tersebut kepada pekerja wanita.

Pun begitu, ada pihak yang bimbang jika dasar itu diluluskan, ia boleh menjejaskan peluang wanita menembusi pasaran kerja di negara yang mempunyai kadar tenaga kerja wanita terendah di Eropah.

Statistik menunjukkan kadar tenaga kerja wanita di Itali hanya 61% berbanding purata 72% di Eropah.

“Majikan akan memilih pekerja lelaki berbanding wanita,” keluh Lorenza Pleuteri dari majalah Donna Moderna.

Selain cadangan cuti sakit haid itu, Itali juga terbukti sebuah negara mesra wanita melalui dasarnya yang lebih memihak kepada golongan Hawa.

Ibu bersalin boleh menikmati gaji penuh selama 5 bulan, selain itu kedua-dua ibu dan bapa dibenarkan mengambil cuti tambahan 6 bulan dengan 30% gaji.

“Wanita sudahpun mengambil cuti sakit apabila senggugut, tetapi undang-undang baharu membolehkan mereka bercuti tanpa sijil sakit,” kata pakar ekonomi di Itali, Daniela Piazzalunga.

“Jika undang-undang ini diluluskan, ia pasti memberi kesan negatif. Permintaan untuk pekerja wanita akan turun, selain kesan dari segi pendapatan dan kenaikan pangkat,” tambahnya.

Cadangan itu dibentangkan 4 wakil rakyat wanita dari Parti Demokratik, pada 13 Mac lalu.

Undang-undang hampir serupa sudah dilaksanakan di China, Jepun dan Korea Selatan, selain beberapa syarikat besar seperti Nike.

http://www.freemalaysiatoday.com/cat…-dalam-kajian/

Related posts