You are here
berita 

Cendol Abang Kacak pula jadi tumpuan

M. Kelvin Raj menunjukkan cendol yang dijualnya di hadapan Jalan Yang Kalsom Ipoh. Sebelum ini ia menjadi viral di media sosial berikutan penjualnya seorang lelaki kacak yang menjual cendol. – UTUSAN ONLINE/Kamal Basir Wahab

IPOH 20 Dis. – Selepas ‘Nasi Lemak Anak Dara’ mendapat perhatian ramai di media sosial, kini ‘Cendol Abang Kacak’ pula meraih tumpuan sama apabila kisah mengenainya menjadi viral sejak Ahad lalu.

M. Kelvinraj, 18, berkata, dia hanya mengetahui bahawa gambarnya sedang berniaga tersebar dan menjadi bualan ramai selepas dimaklumkan oleh rakannya semalam.

Menurutnya, walaupun pada mulanya berasa terkejut dengan perhatian secara mendadak itu, namun dia gembira kerana ia sedikit-sebanyak dapat membantu melariskan perniagaan milik keluarganya.

“Seronok apabila ramai pelanggan yang datang membeli memberitahu yang mereka mengetahui mengenai saya dan perniagaan ini melalui media sosial.

“Saya akui sejak kisah ini viral di media sosial, ramai yang datang membeli cendol sehinggakan saya mampu menjual lebih 100 mangkuk cendol dalam hanya beberapa jam beroperasi,” katanya ketika ditemui di Jalan Yang Kalsom di sini hari ini.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, dia yakin bukan disebabkan paras rupanya sahaja yang dikatakan mampu menarik pelanggan tetapi keenakan cendol hasil air tangan ibunya.

Katanya, keistimewaan Wawasan Cendol yang diusahakan mereka sekeluarga terletak pada rasa gula Melaka dan santan asli yang tidak dicampur dengan air.

“Saya memulakan perniagaan pada hari biasa dari pukul 12 tengah hari hingga 4.30 petang di sini dan pada hujung minggu sahaja saya meniaga di Jalan Bandar Timah berhampiran Plan B, Ipoh.

“Kebiasaannya, saya akan menjual kira-kira 150 mangkuk dan bungkus, namun jualan akan meningkat sehingga 300 mangkuk dan bungkus pada hujung minggu,” katanya.

Kelvinraj memberitahu, dia baharu dua bulan mengambil alih perniagaan keluarganya yang telah diusahakan sejak setahun lalu sementara menunggu peluang menyambung pelajaran.

“Saya harap selepas ini lebih ramai pelanggan mencuba cendol ini. Walaupun segan kerana wajah saya tersebar tetapi saya anggap ia sebagai promosi percuma untuk perniagaan ini,” ujarnya.



http://www.utusan.com.my/berita/nasi…mpuan-1.422223

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts