You are here
berita 

Caj melampau faedah kad kredit

Pemuda Umno Wilayah Persekutuan minta KPDNKK pantau peniaga yang ambil kesempatan ke atas pengguna kad kredit.
KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta agensi-agensi berkaitan digesa memantau tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah peniaga yang mengenakan caj faedah secara berlebihan kepada pengguna kad kredit.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Jefree Zain Affendi berkata, situasi berkenaan disifatkan sebagai satu bentuk penipuan yang membebankan pembeli.

Menurutnya, caj lebihan yang dikenakan adalah antara 1.5 sehingga tiga peratus yang dikira berdasarkan harga total urus niaga yang dibuat.

“Saya berpendapat ini adalah satu bentuk penipuan secara terang-terangan kerana pembeli akan dikenakan faedah sebanyak dua kali ganda.

“Faedah yang pertama adalah faedah yang terpaksa dibayar oleh pembeli kepada peniaga tersebut, manakala faedah yang kedua pula akan dibayar oleh pembeli kepada institusi perbankan, menurut terma-terma perjanjian kad kredit masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan media.

Jefree yang juga Ketua Pemuda Umno Bukit Bintang berkata, berdasarkan aduan yang diterima, rata-rata peniaga yang mengenakan caj faedah terdiri daripada kedai alat telekomunikasi, gajet dan IT.

“Bersandarkan alasan sama, saya desak seluruh agensi dan badan kerajaan berkaitan untuk segera mulakan operasi pemantauan.

“Kami di peringkat Pemuda Umno Wilayah Persekutuan serta Bahagian Bukit Bintang bersedia bantu agensi-agensi yang bertanggungjawab dengan beri maklumat atau apa-apa bentuk bantuan lain sekiranya diperlukan demi memastikan penipuan yang berlaku ini dapat dikekang dengan segera,” katanya.

SUMBER:http://www.sinarharian.com.my/edisi/…redit-1.638876

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts