You are here
berita 

Budak melecur rakan simbah petrol sebelum nyalakan api

Haslinda menunjukkan kecederaan dialami Muhammad Ikwan yang melecur kedua belah tangan serta badan. FOTO Amran Hamid

Alor Setar: Seorang kanak-kanak lelaki melecur di badan dan tangan akibat disambar api ketika bermain dengan rakannya di padang Taman Nuri, di sini, Khamis lalu.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, Muhammad Ikwan Fahami Mohd Shahrzal, 13, dari Kampung Pengapit Batu, di sini, terpaksa dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selama lima hari.

Muhammad Ikhwan berkata, dalam kejadian itu, lima rakannya mengajak dia bermain bola api menggunakan buah pumpong yang dibakar dengan petrol.

Dia mendakwa enggan bermain sebelum seorang rakan menyimbah dia dengan petrol.

“Kemudian dia acukan pemetik api menyebabkan api menyambar badan saya.

“Saya menjerit dan berguling-berguling kerana terlalu panas manakala dua rakan lain cuba membantu dengan mengibas pakaian mereka di badan saya.

“Rakan yang menyimbah saya dengan petrol melarikan diri,” katanya yang mendakwa tidak sedarkan diri selepas itu.

Muhammad Ikhwan ditemui wartawan bersama ibunya, Haslinda Hashim, 38, di lobi HSB, di sini, hari ini ketika menerima sumbangan wang tunai daripada Pertubuhan Bantuan Kebajikan Masyarakat Negeri Kedah (PBKMNK).

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah Datuk Mohd Nashir Ya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu namun polis tidak membuka kertas siasatan kerana keluarga kedua-dua pihak mahu menyelesaikan dengan cara baik.

Beliau berkata, bapa mangsa berusia 36 tahun membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Jumaat lalu, kira-kira jam 5 petang.

Katanya, bagaimanapun kes itu dianggap selesai selepas kedua-dua keluarga bersetuju berdamai di atas semangat kejiranan selain tidak mahu polis meneruskan siasatan.

http://www.hmetro.com.my/node/199819

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts