You are here
berita 

Belajar daripada Youtube buat dadah bernilai RM1.4 juta

KETUA Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd (dua dari kiri) menunjukkan bahan dan peralatan memproses ecstasy yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru, hari ini. – Foto Hairul Anuar Rahim

JOHOR BAHRU: Polis Johor merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.4 juta dan menahan dua lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Sulaiman, Muar.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd, berkata dalam serbuan pada jam 4.30 petang kelmarin itu polis turut merampas pelbagai bahan dan peralatan memproses ecstasy.

Katanya, siasatan mendapati kedua-dua suspek berusia 31 dan 41 tahun itu memproses ecstasy berpandukan video pada laman sosial Youtube.

“Dalam serbuan itu, polis menemui dadah iaitu serbuk ecstasy seberat 13.4 kilogram, ketamin (362.3 gram), ganja (299.3 gram) dan syabu (53 gram),” katanya.

Beliau berkata polis turut merampas beberapa bahan kimia yang dipercayai digunakan untuk menghasilkan ecstasy.

“Polis juga menyita sebuah kereta PERODUA Myvi, Isuzu Trooper dan PROTON Perdana, selain wang tunai RM4,000 yang keseluruhannya bernilai RM54,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau bersabit dadah selain positif dadah methamphetamine.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 26 Januari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Khalil berkata dalam tempoh 20 hari sejak 1 Januari lalu, pihaknya menahan 892 individu selain merampas dadah seberat 33.64 kilogram bernilai RM2.24 juta.

https://www.bharian.com.my/berita/ke…-video-youtube

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts