You are here
berita 

Bantuan kewangan boleh jejas ekonomi negara – Datuk Seri Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Pemberian bantuan kewangan oleh kerajaan kepada syarikat berkepentingannya setiap tahun, hanya untuk mengekalkan 100 peratus pemilikan tempatan, boleh menjejaskan ekonomi Malaysia serta daya saing negara, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Oleh itu, beliau berkata, semua pihak perlu rasional terhadap dasar pemilikan ekuiti tempatan bahawa syarikat tidak wajar dibiarkan rugi semata-mata mengekalkan pemilikan tempatan sepenuhnya.

“Seperti mana yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebut semasa acara pagi ini, kita harus rasional, adakah kita sanggup untuk melihat syarikat kita rugi (dan) kerajaan memberi wang setiap tahun semata-mata hendak kekalkan 100 peratus pemilikan tempatan.

“Ini adalah tindakan yang amat tidak rasional,” katanya kepada pemberita semasa majlis pemberian bubur lambuk oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di sini, hari ini.

Beliau berkata, wang yang disalurkan dalam bentuk bantuan itu sewajarnya digunakan untuk membangunkan kemudahan lain seperti pembinaan hospital dan jalan raya.

Mustapa berkata, pemilikan ekuiti merupakan dasar yang telah lama dilaksanakan.

“Dasar (pemilikan ekuiti) kita liberal, bukan sahaja untuk pembuatan, malah bagi sektor lain juga, walaupun (kerajaan) tidak benarkan 100 peratus (pemilikan asing), namun kita benarkan penyertaan asing dan itu realitinya, kita mahu (ekonomi) negara kita berkembang.

“Jika kita cuma harapkan pelabur Malaysia untuk melabur dan tidak harapkan orang luar, ini sesuatu yang tidak bijak dan tidak relevan,” katanya.

Mustapa berkata, Malaysia menerima banyak pelaburan dari Asean malah aktif melabur di luar negara dalam situasi dunia yang menjadi semakin global dan bersepadu.

“Pelaburan Malaysia di luar negara melebihi pelaburan asing dalam negara kita, dan jika (pelaburan asing) hendak dianggap penjajah, Malaysia boleh dianggap sebagai negara penjajah,” katanya. – Bernama

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts