You are here
berita 

Bangkai tapir mati tepi jalan dilapah kejam

Bangkai tapir yang dilapah kejam individu tidak bertanggungjawab.

KUALA KRAI – Seekor tapir ditemui mati di tepi jalan berhampiran Simpang Slow Temiang, Ahad lalu.

Haiwan dilindungi Jabatan Perhilitan itu ditemui penduduk yang kebetulan melalui kawasan kejadian.

Rosdi Yusof dari Bukit Abu berkata, dia menemui bangkai tapir itu terbaring di tepi jalan.

Menurutnya, dia sempat berhenti melihat haiwan berkenaan seketika.

“Waktu itu dah mati, tapi tak diusik lagi.

“Masa pulang waktu petang, saya dapati kulitnya dah dilapah, muncungnya juga dipotong,” katanya.

Katanya, sebelum kejadian dia pernah melihat haiwan tersebut beberapa kali melintas jalan di lokasi kejadian.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohd Hasdi Husin berkata, kes terbabit merupakan yang pertama berlaku di Kuala Krai.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat daripada Ibu Pejabat Perhilitan Daerah Kuala Krai kira-kira 12.35 tengah hari berhubung penemuan haiwan itu.

“Haiwan tersebut dipercayai mati setelah dilanggar. Jam 2 petang, empat kakitangan Perhilitan Kuala Krai ke lokasi kejadian, ketika sampai didapati kulit tapir telah dilapah dan muncungnya juga dipotong.

“Ketika itu, tidak ada kelibat orang awam di lokasi kejadian,” katanya.

Hasdi berkata, anggota badan tapir tidak boleh diambil sesuka hati kerana menjadi kesalahan di bawah Seksyen 68 Akta 716 Pemuliharaan Hidupan Liar.

“Orang awam yang menjumpai tapir dilanggar dinasihati tidak mengambil terbitan atau bahagian ‘karkas’ tapir tersebut,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang menemui haiwan terbabit boleh hubungi Jabatan Perhilitan Jajahan berhampiran atau ibu pejabat Perhilitan Negeri di talian 09-7416240.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/…lapah-1.654362

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts