You are here
berita 

Bakal isteri lesap ketika mahu hantar rombongan, rugi RM30,000

Laporan polis yang dibuat Muzaffar.

KOTA BHARU – Hajat seorang pemuda untuk menamatkan zaman bujang bersama kekasih hatinya tidak kesampaian, sebaliknya terpaksa menanggung kerugian hampir RM30,000 setelah diperdaya teman wanitanya sendiri.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Muzaffar, 32, berkata, dia yang bekerja sendiri menetap di Jempol, Negeri Sembilan, mengenali teman wanitanya itu dari kenalannya sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, sepanjang perkenalan mereka, gadis itu menunjukkan sifat yang baik dan lemah lembut serta sering berhubung melalui telefon bimbit dan mesej aplikasi WhatsApp.

“Permulaan perkenalan saya dengan dia bermula pada 2014. Dia tidak bekerja dan hanya menetap di rumahnya di Kampung Demit, Kubang Kerian.

“Sifatnya yang alim dan sering memberi peringatan mengenai solat, manja dan lemah lembut membuatkan saya akhirnya jatuh hati kepadanya,” katanya.

Muzaffar berkata, awal perkenalannya teman wanitanya itu ada meminta tolong masukkan duit dalam akaun bank kerana dia perlukan wang belanja kerana tidak bekerja.

“Kerana sayang dan percaya, saya turutkan kehendaknya. Saya masukkan duit dalam akaun milik rakannya secara berperingkat sehingga jumlahnya mencecah RM30,000.

“Saya tak pernah sangsi dan ragu yang dia akan menipu serta mempermainkan perasaan saya,” katanya.

Muzaffar berkata, kesemua wang yang dimasukkan menggunakan akaun bank milik rakan teman wanitanya kerana ketika itu bakal isterinya itu tidak mempunyai akaun bank.

“Sehinggalah pada 2016, dia akhirnya bekerja sebagai pembantu taska di Bangi dan saya ada bertemu dengannya sekali di tempat kerjanya.

“Kemudian kami setuju mengikat tali pertunangan dan saya menghantar rombongan meminang wanita idaman saya itu,” katanya.

Menurut Muzaffar, mereka sepakat untuk menetapkan tarikh 2 Januari bagi majlis merisik dan bertunang yang dijadualkan berlangsung di rumah keluarga teman wanitanya di Kampung Demit, Kubang Kerian.

“Sehinggalah sebelum tarikh merisik dan meminang, saya ada masukkan RM3,000 secara berperingkat dalam akaunnya atas alasan kononnya dia mahu menempah dua bentuk cincin termasuk cincin merisik dan bertunang, dan juga menempah kek untuk majlis terbabit.

“Dia juga berjanji akan menempah rumah tumpangan untuk saya dan keluarga menginap. Sehari sebelum hantar rombongan meminang, saya menghubunginya dan berjanji bertemunya di depan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, sebelum dia membawa rombongan kami ke rumahnya,” katanya.

Bagaimanapun, kata Muzaffar, tiba hari yang dinanti-nanti pada Jumaat lalu, ketika sampai di kawasan rehat di Gua Musang, dia cuba menghubungi wanita terbabit namun telefon bimbitnya dimatikan.

“Saya cuba hubungi kedua-dua nombor telefon miliknya, namun mesej WhatsApp saya telah disekat, malah dia gagal dihubungi.

“Memang pada mulanya saya tidak sedap hati, namun nekad meneruskan perjalanan hinggalah sampai ke Kota Bharu dan cuba hubungi dia beberapa kali, namun masih gagal,” katanya.

Sehubungan itu, Muzaffar nekad pergi ke sebuah pasar raya berhampiran dan bertanyakan sama ada pernah terserempak atau mengenali bakal isterinya, namun jawapan hampa apabila mereka tidak mengenalinya.

“Akhirnya pekerja kedai itu membawa saya dan rombongan ke masjid mukim Demit bertemu penghulu dan imam di masjid itu.

“Selepas diselidik mengenai teman wanita saya itu, penduduk, imam dan ketua kampung akui tidak pernah mengenalinya malah keluarganya juga.

“Puas saya berusaha sehinggalah hari semakin gelap dan melihat saya dalam keadaan buntu, penghulu di kawasan itu tawarkan kami tinggal di rumah tumpangan berdekatan,” katanya.

Muzaffar berkata, dia amat terkilan dengan kejadian itu dan kesal kerana wanita yang mahu dijadikan isteri akhirnya mengkhianati hubungan cintanya yang tulus ikhlas.

“Saya buat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa pada 3 Januari lalu, setelah sedar tertipu dan dipermainkan jiwa dan raga.

“Apa pun kejadian ini benar-benar menjadi pengajaran kepada saya. Walaupun masih terkilan dengan tindakannya itu, namun saya masih bersifat positif dengan menganggap kejadian ini sebagai ujian dan selepas ini akan lebih berhati-hati,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Ibrahim Sharif mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes disiasat untuk tindakan lanjut.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/…lesap-1.794791

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts