You are here
berita 

Anak tergamak mahu penjarakan bapa kerana harta pusaka

JOHANES menundukkan kepala ketika mengikuti perbicaraannya di sebuah mahkamah di Jakarta baru-baru ini. – Infonitas.com

Jakarta: Seorang lelaki boleh dianggap sebagai anak derhaka apabila tergamak berusaha memenjarakan bapanya sendiri semata-mata tidak sabar mahu mendapatkan harta pusaka.

Robert membuat laporan polis yang menyebabkan bapanya didakwa di mahkamah atas tuduhan menggelapkan harta bukan miliknya.

Kisah bapa malang yang dikenali sebagai Johanes, 60, bermula apabila dia menukar hak milik tiga hartanah miliknya yang bernilai Rp4 bilion (RM1.33 juta) kepada Robert.

Bagaimanapun, Robert dan isterinya, Jessica tidak sabar dan mendesak bapanya segera menyerahkan harta berkenaan.

“Harta ini memang saya mahu wariskan kepada Robert tetapi saya masih hidup dan ia akan menjadi miliknya apabila saya meninggal dunia nanti.

“Namun, mereka tidak sabar dan mahu mengusir saya dari hartanah ini. Mereka juga membuat laporan polis mendakwa saya menceroboh dan mahu saya dipenjarakan,” katanya yang dipetik Liputan6.com.

Ujarnya, dia kini didakwa di sebuah mahkamah di sini atas dakwaan menggelapkan harta dan berdepan hukuman penjara tiga tahun.

Johanes berkata, Robert adalah anak tunggalnya dan dia juga menghantar anaknya itu melanjutkan pelajaran di luar negara.

“Jessica pula adalah anak angkat saya dan apabila dewasa saya jodohkan dengan Robert. Tetapi apabila sudah berkahwin ini yang mereka lakukan pada saya.

“Mungkin mereka tidak sabar menunggu saya mati untuk dapatkan harta ini.

“Esok (hari ini) saya akan memberi keterangan di mahkamah dan saya akan cerita sendiri apa yang saya korbankan untuk mereka dari kecil hingga besar,” ujarnya.

http://www.hmetro.com.my/node/219502

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts