You are here
berita 

Ambil alih tugas ibu bapa

Zanilawati ditemani adiknya, Nur Syarifah Shahira, Nur Fatin Adawiyah, Mohd Fadley Adyley,
Mohd Fikri Aiman, Nur Syafika Eliyana dan Nur Auni Shazwani.

PONTIAN – Gelak tawa dan usikan manja membuatkan rumah Zanilawati Mohd Noor, 41, begitu meriah pada waktu petang.

Mana tidaknya, keenam-enam adiknya berada di rumah selepas masing-masing menghabiskan sesi persekolahan.

Bagi Zanilawati, kasih sayangnya kini hanya untuk adik-adiknya biarpun empat daripada mereka dikategorikan kurang upaya masalah pembelajaran.

“Nur Syarifah Shahira, 15; Nur Fatin Adawiyah, 14; Mohd Fadley Adley, 11, dan Mohd Fikri Aiman, 10, mengalami masalah pembelajaran dan kini mengikuti kelas pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Baloi dan Sekolah Kebangsaan Ayer Baloi.

“Dua lagi adik mereka tidak mengalami masalah pembelajaran. Nur Syafika Eliyana, 9, kini di tahun tiga manakala adik bongsu, Nur Auni Shazwani, 6, di Tadika Kemas,” katanya ketika ditemui di Rumah Flat Taman Sri Api-api di sini, semalam.

Keadaan empat adiknya yang kurang upaya itu memerlukan Zanilawati memberikan perhatian sepenuhnya kepada mereka.

“Adik-adik adalah kekuatan saya selepas berpisah dengan suami. Walaupun saya dan adik-adik berbeza ibu namun saya tetap sayangkan mereka.

“Ibu mereka, Ramlah Ismail meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya empat tahun lalu,” katanya.

Zanilawati berkata, selepas ibu mereka meninggal dunia, adik-adiknya dijaga oleh ayah, Mohd Noor Muda, 61, di Machang, Kelantan.

Bagaimanapun, sejak dua bulan lalu, Zanilawati diberikan tanggungjawab untuk menjaga keenam-enam adiknya selepas keadaan kesihatan ayahnya yang menghidap penyakit buah pinggang dan paru-paru semakin merosot.

“Saya bawa mereka berpindah dari Kelantan ke Johor kerana mahu mereka memulakan kehidupan baharu bersama saya di sini,” katanya.

Panggil kakak ‘ummi’

Keakraban Zanilawati bersama enam adiknya bukan seperti hubungan kakak dan adik sebaliknya mereka ibarat seperti ibu dan anak.

Malah Zanilawati dipanggil ummi oleh adik-adiknya yang sangat merindui ibu mereka.
“Dahulu, saya pernah berhajat untuk mengambil seorang dari mereka selepas dilahirkan untuk dijadikan anak angkat memandangkan saya tidak mempunyai anak.

“Siapa sangka hajat saya itu termakbul, bukan seorang tapi enam adik saya dapat jaga sekarang,” katanya.

Tidak mahu berpisah

Zanilawati yang tidak lagi bekerja kini mengharapkan sepenuhnya wang bantuan bulanan yang diterima dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menyara keenam-enam adiknya itu.

“Sudah dua bulan saya berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan untuk menjaga adik-adik.
“Perhatian sepenuhnya perlu diberikan kepada adik-adik memandangkan empat daripada mereka mengalami masalah pembelajaran,” katanya.

Zanilawati berkata, bantuan yang dihulurkan jiran-jiran banyak membantu terutama dari segi persediaan menyambut Aidilfitri lalu.

“Alhamdulilah, Majlis Agama Islam Johor (Maij) datang ke rumah kami baru-baru untuk memberikan sumbangan dua basikal dan beberapa barang keperluan harian lain.

“Tiada persiapan untuk menyambut hari raya, mujur ada jiran yang memberikan kuih raya untuk kami,” katanya.

KRT hulur bantuan

Walaupun baharu sahaja berpindah ke rumah Flat Taman Sri Api-api, Zanilawati bersama enam adiknya sering dibantu jiran dan penduduk.

Malah jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sri Api-api sering mengajak Zanilawati menyertai aktiviti bersama penduduk di situ.
Pengerusinya, Mohamed Farook Shaik Dawood berkata, bantuan seperti baju raya diberikan menerusi program Free Market dianjurkan KRT.

Bagi Hainorlina Abdul Kadir, 52, dia kini memberi bimbingan kepada Zanilawati dan adik-adiknya dalam soal solat dan membaca al-Quran.

“Saya juga kerap bertanya khabar dengan Zanilawati menerusi telefon.

“Selain itu, Zanilawati juga kerap menyertai program keagamaan seperti majlis tahlil di surau dan banyak lagi,” katanya.


Hainorlina (kiri) memberi bimbingan agama kepada Zanilawati dan adik-adiknya.

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts