You are here
berita 

8 wanita disamun ketika sedang mengaji Quran

Adun Batang Kali, Datuk Nadzari Dahlan (dua, kanan) dan Supramaniam menziarahi Rohani yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Kubu Bharu.


Dari kiri: Suami Norasiah menunjukkan kesan melecet di pergelangan tangan isterinya akibat direntap suspek yang melarikan gelang emasnya, semalam. (Kanan) Noraini menerima sembilan jahitan di tangan kiri akibat terkena parang ketika cuba mempertahankan diri.

BATANG KALI – Lapan wanita berusia 50-an berdepan detik cemas selepas diserang empat lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian samun di Taman Seri Batang Kali, kira-kira jam 9.30 pagi semalam.

Seorang mangsa, Rohani Abdullah, 53, berkata, ketika kejadian, kesemua mereka ketika itu sedang mengikuti kelas membaca al-Quran di ruang luar rumah ustazah yang mengajar mereka.

Menurutnya, tiga motosikal berhenti secara mengejut di hadapan pintu pagar rumah yang tidak dikunci dan empat lelaki meluru dengan parang di tangan.

“Kami menjerit dan masing-masing lari selamatkan diri dengan masuk dalam rumah tapi kami terperangkap kat bahagian dapur.

“Ada yang tak sempat lari, tinggal kat luar rumah…semua lelaki itu pakai topi keledar dan letak parang kat leher kami.

“Mak cik lari sampai terjatuh di dapur…dia (suspek) selak tudung mak cik dan cakap…’kalau nak hidup, tak mahu mati, bagi barang kemas’,” katanya.

Norasiah Hassanuddin, 52, berkata, kelas mengaji itu merupakan rutin harian membabitkan wanita yang tinggal di taman berkenaan.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sudah selesai mengaji, namun menunggu rakan lain menghabiskan bacaan masing-masing.

“Mak cik tak sempat lari sebab tergamam dengan apa yang berlaku…seorang daripada lelaki itu letak parang di leher mak cik.

“Dia selak kain tudung dan rentap gelang di tangan dengan kasar sampai pergelangan tangan melecet.

“Masa itu tak fikir apa dah… dalam hati berdoa supaya kami semua tak diapa-apakan sebab macam-macam boleh berlaku kalau mereka bertindak ganas,” katanya.

Norasiah berkata, kejadian berlaku sangat pantas dan kesemua lelaki melarikan diri dengan tiga motosikal .

Jiran, Noraini Mohamad Khairuddin, 55, berkata, dia yang berada di dapur terdengar bunyi bising dari rumah sebelah dan keluar untuk melihat apa yang berlaku.

Menurutnya, secara tiba-tiba anak perempuan berusia 24 tahun yang sedang menyapu sampah di luar rumah bergegas masuk dalam keadaan ketakutan dan menutup pintu pagar.

“Seorang lelaki tidak dikenali memakai topi keledar menjerit dari rumah sebelah (rumah ustazah) suruh buka pintu.

“Dia (suspek) tendang pintu sampai terbuka.. dia masuk tarik mak cik ke luar rumah dan acu parang suruh serahkan barang kemas.

“Bila dia macam nak tetak.. mak cik tahan dengan tangan.. itu yang luka kat jari sampai kena sembilan jahitan tapi dia sempat rentap rantai kat leher mak cik,” katanya.

Ketika kejadian, seorang anaknya, Badrul Hisyam Alimin, 31, yang balik bercuti berada dalam bilik bersama cucu berusia tiga bulan.

Badrul Hisyam berkata, dia keluar bilik selepas mendengar kekecohan dan berlaku pergelutan dengan seorang penyamun itu kerana mahu menyelamatkan ibunya.

Katanya, tiga lelaki lain keluar dari rumah jiran sebelum kesemua mereka melarikan diri dengan menunggang motosikal.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/…ngaji-1.651476

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts