You are here
berita 

‘8 guni ketum kat belakang…’

Kangar: Dua lelaki ditahan bersama lapan guni daun ketum di Kampung Kok Mak, Padang Besar, hari ini.

Rampasan 234 kilogram (kg) ketum dengan nilai RM9,360 dilakukan Agensi Kawalan Keselamatan Sempadan (AKSEM), pada 7.30 pagi ini.

Komander AKSEM Padang Besar, Deputi Superitendan Syed Basri Syed Ali, berkata jenayah dikesan sepasukan anggota risikan AKSEM Perlis, Padang Besar dan Kuala Perlis.

Katanya, ketika itu anggota sedang membuat pemantauan penyeludupan di kawasan Padang Besar.

“Ketika berada di Jalan Kampung Sena Dalam di Titi Tinggi, Padang Besar, anggota terserempak Perodua Myvi putih yang mencurigakan.

“Mereka mengekori kereta hingga ke Kampung Kok Mak, Padang Besar, sebelum memintas dan menahan kenderaan itu,” katanya.

Syed Basri berkata, pemeriksaan selanjutnya menemui lapan guni putih berisi daun hijau disyaki ketum di tempat duduk belakang dan but kereta.

“Kami tahan dua lelaki berusia 23 dan 45 tahun. Kami rasa ia cuba diseludup ke Thailand,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

sumber:http://www.hmetro.com.my/node/189817

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts