You are here
berita 

696 penunggang motosikal isi petrol percuma di Taman Medan, PJ

Penunggang motosikal beratur panjang untuk mengisi petrol percuma di stesen minyak Petronas Taman Medan, dekat sini, hari ini. FOTO Zulfadzli Zulkifli

Petaling Jaya: Hanya dalam tempoh dua jam, 696 penunggang motosikal mengisi petrol percuma di stesen minyak Petronas Taman Medan, dekat sini, hari ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati, kebanyakan mereka tiba seawal 8 pagi bagi mengisi bahan bakar itu.

Kakitangan swasta, Kamarudin Ahmad Wazan, 33, berkata, dia dimaklumkan oleh jirannya pada Selasa lalu mengenai pemberian petrol secara percuma itu.

“Pagi ini saya terus ke stesen minyak Petronas, Taman Medan untuk mendapatkan minyak percuma ini.

“Saya menunggu hampir 30 minit selepas tiba pada 9.30 pagi. Saya melihat ini adalah inisiatif terbaik bagi membantu meringankan beban orang ramai berikutan kenaikan harga petrol terutama penunggang motosikal seperti saya.

“Saya menganggap ini sebagai rezeki dan ini kali pertama saya mengisi petrol percuma dan berharap usaha ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Harga runcit petrol RON95 dan RON97 bagi Februari naik 20 sen, manakala diesel naik 10 sen berkuat kuasa tengah malam tadi.

Bagi seorang lagi kakitangan swasta, Puteri Norazlinda Megat Nasaruddin, 29, dia teruja sebaik melihat ramai penunggang motosikal beratur di stesen minyak itu.

“Saya tiba kira-kira 9.40 pagi selepas dimaklumkan penduduk Taman Medan yang memberitahu ada pemberian minyak percuma, pagi ini. Saya juga tidak melepaskan peluang dan ke stesen minyak ini untuk mendapatkan petrol percuma.

“Terima kasih kepada pihak yang prihatin dan berharap akan ada inisiatif seperti ini pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Penolong Koordinator Pembangunan Kawasan Taman Medan, Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim berkata, pihaknya mengambil inisiatif memberi petrol percuma sebanyak RM7 kepada penunggang motosikal bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari.

“Pendekatan ini bertujuan bagi meringankan beban penunggang motosikal berikutan kenaikan harga petrol berkuatkuasa tengah malam tadi. Jadi, pihak kami terpanggil untuk memberikan petrol percuma kepada mereka.

“Insya-Allah, pihak kami akan meneruskan inisiatif seperti ini pada masa akan datang terutama untuk mendekatkan diri dengan masyarakat dan penduduk Taman Medan,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/node/202381

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts