You are here
berita 

371 nelayan alami kerugian akibat tumpahan minyak

Quote:

JOHOR BAHRU – Lebih 300 nelayan dari enam kawasan perkampungan nelayan sekitar Pelabuhan Pasir Gudang dijangka mengalami kerugian lebih RM130,000 apabila tidak dapat turun ke laut berikutan kejadian tumpahan minyak akibat pelanggaran dua kapal kontena malam tadi

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Johor Selatan, Azli Mohd Aziz berkata, enam perkampungan nelayan yang terjejas adalah Kampung Pasir Gudang Baru, Kampung Pasir Putih, Kampung Kuala Masai, Kampung Asli Kuala Masai, Kampung Asli Pasir Putih dan Kampung Asli Teluk Kabung

Daripada 371 nelayan yang terjejas, seramai 21 nelayan adalah nelayan ternakan, yang dijangka tidak dapat turun ke laut sekurang-kurangnya seminggu, kata beliau kepada pemberita di sini hari ini

“Tadi saya ada pergi melihat keadaan dan mendapati memang kerja-kerja pembersihan sidang berjalan, cuma masih terdapat banyak kesan minyak hitam di permukaan laut yang dilihat boleh menjejaskan peralatan menangkap ikan

“Jadi saya tidak pasti sama ada dalam seminggu ini, mereka (nelayan) akan dapat turun ke laut,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan lokasi kemalangan tersebut

Tambahnya, ketika ini pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada ahli persatuan yang terjejas, sebelum mengambil sebarang tindakan susulan termasuk meminta ganti rugi

“Kawasan jajaran tangkapan kita adalah seluas 10 kilometer dan kita kena lihat, yang terjejas di sini bukan hanya mata pencarian kami nelayan tetapi kehidupan alam sekitar di sini jadi kita berharap pihak Pelabuhan Johor mampu memberikan bantuan kepada kami yang terjejas ini

“Kalau kita lihat tadi, kawasan tersebut masih berbau minyak dan tompokan minyak hitam pun masih banyak, jadi saya khuatir ini akan merosakkan jala-jala ikan sebab nelayan-nelayan kawasan ini memang menangkap hasil laut di sini,” kata Azli

Menurutnya juga, terdapat juga nelayan yang turun ke laut pagi tadi dan mendakwa jala-jala mereka telahpun rosak berikutan kejadian itu

Pada 11.01 malam, tumpahan minyak dilaporkan berlaku berhampiran pelabuhan Johor di timur Selat Johor dekat sini malam tadi akibat pelanggaran dua buah kapal kontena antarabangsa

Kapal Wan Hai dipercayai telah mengalami kerosakan bekalan tenaga elektrik menyebabkan kapal tidak boleh dikawal dan akhirnya melanggar bahagian tangki kapal kontena milik APL Denver sehingga mengakibatkan tumpahan minyak

Tumpahan minyak itu turut dilaporkan menjejaskan sebahagian perairan Pulau Ubin, Singapura

http://www.sinarharian.com.my/semasa…inyak-1.606761


Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts