You are here
berita 

3 pasangan remaja dicekup dalam kedai makan terbiar

Rahimin (kanan) menjalankan siasatan terhadap tiga pasangan remaja yang ditahan kerana disyaki berkhalwat di sebuah kedai makan terbiar di Jalan Plaza Mahkota hari ini

MELAKA – Tiga pasangan remaja ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) kerana disyaki berkhalwat di sebuah kedai makan terbiar di Jalan Plaza Mahkota di sini hari ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JAIM Rahimin Bani berkata pasangan terbabit yang berusia antara 17 dan 27 tahun ditahan ketika sedang tidur di dalam premis berkenaan dalam serbuan kira-kira 9.30 pagi tadi.

“Serbuan dilakukan berdasarkan aduan dan maklumat orang awam berhubung terdapat kegiatan tidak sihat di kawasan berkenaan dan ketika serbuan premis kedai makan tersebut berkunci serta tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.

“Anggota penguat kuasa JAIM dengan bantuan polis telah menyerbu masuk ke premis itu melalui tingkap di bahagian belakang yang dipercayai menjadi laluan pasangan remaja ini untuk keluar dan masuk ke kedai tersebut,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata maklumat awal mendapati kedai makan terbiar milik persendirian itu turut dijadikan sarang menghidu gam selain aktiviti tidak bermoral lain sejak dua bulan lepas.

Katanya siasatan juga mendapati beberapa remaja daripada kumpulan berkenaan telah ditahan JAIM sebelum ini kesalahan sama dengan menyasarkan bangunan kosong atau terbiar sebagai sarang untuk melakukan aktiviti tidak bermoral.

Mengulas lanjut, Rahimin berkata semua yang ditahan itu tidak bersekolah atau mempunyai pekerjaan tetap dan mereka dibawa ke pejabat JAIM untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman atau berkurung sehingga mendatangkan syak.

“Kita juga menasihatkan ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah sosial agar merujuk pada agensi berkaitan seperti JAIM atau Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mendapatkan khidmat kaunseling,” katanya.

Beliau turut meminta pemilik premis kosong atau terbiar melakukan pemeriksaan ke atas premis masing-masing agar tempat terbabit tidak dijadikan sarang aktiviti tidak sihat. – Bernama

Artikel Penuh: http://kosmo.com.my/kosmo/content.as…#ixzz4a4zYWyb2

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts