You are here
berita 

2 anak berlainan ibu mula bersekolah serentak

Muhammad Faiz Hashim ditemani dua isterinya, Syarifah Nor Fadhilah Syed Mohd. Idris (kiri) dan Nik Noor Syuhada Kamarudin serta dua anaknya, Muhammad Falah (kiri) dan Muhammad Faidhi di SK Bukit Sekilau, Kuantan, Pahang, semalam.

KUANTAN 3 Jan. – Seorang bapa, Muhammad Faiz Hashim sukar menggambarkan perasaannya ketika menemani dua anaknya memasuki tahun satu bagi sesi persekolahan baharu di Sekolah Kebangsaan Bukit Sekilau di sini hari ini.

Apa tidaknya, anaknya itu, Muhammad Faihi, 7, dan Muhammad Falah, 7, yang dilahirkan dalam tempoh 24 jam pada 31 Ogos 2010 di hospital dan bilik sama kini memasuki alam persekolahan bersama-sama.

Muhammad Faiz, 36, berkata, mereka bukan pasangan kembar tetapi dilahirkan ibu berbeza hasil perkongsian hidup bersama dua orang isteri.

“Muhammad Faihi dilahirkan isteri kedua saya, Nik Noor Syuhada Kamarudin, 31, pada pukul 1 petang manakala Muhammad Falah lahir kira-kira 12 jam kemudian oleh isteri pertama, Syarifah Nor Fadhilah Syed Mohd. Idris, 36.

“Saya teruja kerana ketika dilahirkan, mereka disambut oleh doktor sama.

“Apabila memasuki alam persekolahan hari ini, mereka berada di dalam kelas dan diajar guru yang sama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kisah kehidupan berpoligami Muhamad Faiz pernah tersebar apabila beliau memuat naik gambarnya sekeluarga ketika sambutan Aidilfitri Julai lalu di laman sosial Facebook.

Gambar tersebut memaparkan dia dan dua isteri serta anak-anaknya dalam keadaan mesra sehingga menjadi perhatian netizen.

Muhammad Faiz menyifatkan situasi itu sebagai anugerah terindah buat diri dan keluarganya yang menjadi simbolik keharmonian hidup berpoligami.

“Keadaan ini membahagiakan meskipun sibuk dengan urusan seharian. Jujur saya katakan hidup kami mungkin berbeza dengan keluarga lain.

“Saya sering berpesan kepada anak-anak jika orang lain bertanya termasuk guru-guru, mereka harus menceritakan perkara sebenar. Kita berkongsi kakak, abang dan ayah,” kata perunding pelaburan itu.

https://www.utusan.com.my/berita/nas…entak-1.427832

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts