You are here
berita 

102 murid tak hadir sekolah takut dijangkiti H1N1

Mah Hang Soon turut hadir memberikan taklimat berkaitan kesihatan berikutan ketidakhadiran 102 murid sekolah SJKC Tsung Wah, hari ini.

IPOH – Sekurang-kurangnya lebih 100 murid Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Tsung Wah, Kuala Kangsar tidak hadir ke sekolah, hari ini kerana dipercayai takut dijangkiti influenza A (H1N1).

Situasi itu berlaku berikutan dua murid tahun lima sekolah terbabit diminta berehat di rumah selepas dipercayai mengalami simptom awal influenza A.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mah Hang Soon ketika dihubungi mengesahkan, seramai 102 murid sekolah itu tidak mengikuti sesi pembelajaran seperti biasa hari ini.

Menurutnya, jumlah itu adalah lebih tinggi berbanding 26 murid yang tidak hadir, semalam.

“Daripada pemeriksaan dibuat pengurusan sekolah, sebahagian besar daripada mereka mengakui takut dijangkiti menyebabkan tidak mahu datang ke sekolah,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, belum ada pengesahan yang tepat sama ada dua murid terbabit benar-benar dijangkiti influenza A.

“Jabatan Kesihatan negeri telahpun membuat pemeriksaan dan kita masih menunggu keputusan ujian makmal yang dilakukan kepada dua murid terbabit.

“Mereka tidak memerlukan sebarang rawatan di hospital hanya diminta berehat di rumah.

“Buat masa ini, disahkan tiada wabak baru membabitkan murid di sekolah itu,” katanya.

Hang Soon berkata, wabak influenza A tidaklah berbahaya seperti wabak lain dan ia boleh dikawal melalui pengambilan ubat serta rehat yang cukup.

“Ibu bapa tidak perlu khuatir dengan situasi ini kerana ia hanya menimbulkan suasana panik dalam kalangan murid hingga takut ke sekolah. Keadaan sekarang adalah terkawal dan kita minta sesi persekolahan pada Isnin nanti berjalan seperti biasa,” katanya.

Pagi tadi telah diadakan sesi taklimat kesihatan bersama warga sekolah terbabit bagi mengurangkan risiko ketakutan dalam kalangan murid.

Sekolah berkenaan kini mempunyai 582 murid dan mereka yang tidak hadir merupakan 17 murid daripada tahun 1, 19 (2), 22 (3), 11 (4), 27 (5) dan enam murid daripada tahun 6.

http://www.sinarharian.com.my/nasion…-h1n1-1.789698

Anda Juga Mungkin Meminati

Related posts